PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki terbabit rasuah berkait siasatan pegawai kanan Tentera Darat melibatkan projek perolehan.
Menurut SPRM, tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperoleh.
“Selain suspek utama, SPRM telah mengenal pasti beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini.
“Tindakan pengesanan dan sekatan aset sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPRM berkata, jumlah nilai aset atau akaun bank tidak didedahkan buat masa ini memandangkan proses siasatan masih berjalan dan tidak semua aset dibekukan sepenuhnya.
SPRM menegaskan bahawa siasatan ini dijalankan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang, tanpa sebarang campur tangan.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan sedang menyiasat kira-kira 40 buah syarikat disyaki terlibat dalam pemberian wang rasuah yang dijalankan secara berperingkat.
SPRM turut menjalankan operasi penggeledahan di pejabat Tentera Darat di Kementerian Pertahanan (Mindef) serta di kediaman rasmi pegawai kanan Tentera Darat terbabit.
Beberapa barangan mewah bernilai tinggi termasuk jam tangan dan beg tangan mewah yang dipercayai berkait dengan siasatan telah disita SPRM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














