fbpx
AFIFAH membuat laporan polis susulan pihak bekas suami memasuki kediaman diduduki di Senawang tanpa kebenaran dan perbincangan.

‘Rumah dipecah masuk’, bekas isteri Nubhan buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bekas isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek membuat laporan polis berhubung isu barangan peribadi dipindahkan keluar tanpa notis, malam tadi.

Katanya, laporan tersebut dilakukan di Balai Polis Seremban 2, Negeri Sembilan atas sebab memasuki kediaman diduduki di Senawang yang dihuni bersama anak-anak tanpa kebenaran dan perbincangan.

“Ya, laporan polis sudah saya buat atas nasihat peguam. Nubhan boleh hebahkan kononnya saya tahu kena keluar dari rumah itu, tetapi kenapa tidak sertakan bukti tarikh mahupun adanya hitam putih kediaman tersebut perlu dikosongkan.

“Dulu rumah pertama kami pinjaman atas nama berdua, namun dia jual dan membeli rumah kedua atas namanya seorang. Apa pun, rumah tersebut tetap menjadi harta sepencarian. Itu termaktub dalam hukum.

“Saya boleh tinggal di situ sehingga isu harta sepencarian diputuskan mahkamah. Apa pun selepas ini, saya serahkan semuanya kepada peguam , Datuk Akberdin untuk tindakan lanjut. Beliau lebih arif,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Akui ibu tunggal tiga anak itu lagi, buat masa ini dia hanya mahu fokus terhadap anak dan ingin bekerja keras mencari rezeki masa depan mereka berempat.

Menurutnya, apa sahaja alasan diluahkan lelaki terbabit didakwa hanya untuk ‘menghalalkan’ tindakan yang dilakukan terhadapnya serta tiga anak mereka.

“Cakaplah apa sahaja, dia nak tinggal di situ semula atau dah maklumkan saya patut keluar (rumah), itu semua nak sedapkan hati sendiri.

“Lagi mudah kalau dia berbincang dengan peguam dia dan peguam saya andai dia ingin kembali tinggal di rumah tersebut, bukan dengan cara atau tindakan tidak masuk akal yang dilakukan tempoh hari.

“Ini juga bukan isu idah dah tamat atau nama rumah itu nama dia seorang. Orang yang tak faham maksud harta sepencarian boleh berkata apa sahaja. Saya akan tetap perjuangkan hak anak-anak,” katanya.

Buat masa ini, Afifah memaklumkan tinggal di rumah ibu bapanya dan dibantu ahli keluarga lain memunggah kotak serta bungkusan plastik berisi bajunya yang dilonggokkan Nubhan di rumah ibu bapanya.

“Ambil masa nak susun dan pilih barang sebab semua bercampur-campur. Kalau kemas sendiri kita tahu mana yang nak dibungkus dan dibuang,” katanya.

Terdahulu, Peguam syarie mewakili Dr Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kadir mengesahkan memfailkan tindakan sivil terhadap bekas suami anak guam susulan insiden pecah masuk kediaman dan mengeluarkan barang-barang tanpa izin ketika anak guamnya di luar negara.

Tindakan Nubhan yang didakwa cuma mengmbil kesempatan ketika Afifah tiada di Malaysia, mengeluarkan barangan peribadi serta menukar kunci kediaman itu disifatkan sebagai melanggar undang-undang.

Nubhan, 39, sah bercerai dengan Afifah, pada 2 Disember lalu. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan hidup bersama selama 10 tahun.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille, 3. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI