ARAU – Polis menerima laporan berhubung satu hantaran di Facebook yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah melibatkan seorang individu yang dipercayai daripada Institusi Diraja Negeri Perlis.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, laporan itu dibuat oleh seorang kontraktor berusia 39 tahun pada semalam.
Katanya, pengadu mendakwa tidak pernah melihat hantaran tersebut sebelum ini sehingga dia membacanya sendiri semasa berada di sebuah restoran di sini kira-kira pukul 8.30 malam, Rabu lalu.
“Hantaran itu menuduh seseorang menjadi dalang menjatuhkan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli kerana tidak bersetuju dengan nilai dalam perolehan projek sistem perpaipan negeri,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pengadu percaya hantaran berkenaan ditujukan kepada seseorang dipercayai daripada Institusi Diraja Negeri Perlis.
“Pengadu memohon polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemilik akaun Facebook itu kerana cuba memalukan, menjatuhkan dan mengaibkan institusi berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – KOSMO! ONLINE














