SHAH ALAM – Aksi berani seorang pemuda bawah 21 tahun membawa lori lebih muatan atas alasan disuruh penyelianya memakan diri apabila ditahan di Kilometer (KM) 18, Lebuh Raya Guthrie menghala ke Shah Alam, di sini, kelmarin.
Lelaki berusia 20 tahun berkenaan ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kira-kira pukul 11 pagi.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, siasatan mendapati lelaki berkenaan telah memandu sejauh 20 kilometer dari Rawang bagi menghantar barangan sekitar daerah ini.
“Siasatan mendapati lelaki tersebut baharu tamat belajar dan bekerja sebagai kelindan lori.
“Soal siasat terhadap pemuda itu menyatakan membawa lori tersebut atas arahan penyelianya ekoran ketiadaan pemandu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut membawa muatan melebihi had dibenarkan.
“Semasa ditimbang, lori itu membawa muatan sebanyak 11,700 kilogram (kg) iaitu 56 peratus lebih daripada had 7,500 kg, dengan lebihan 4,200 kg,” ujarnya.
Justeru katanya, lori itu disita dan ditempatkan di Stesen Penguatkuasa JPJ Elmina untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














