PEKAN – Penduduk daerah ini digemparkan dengan penemuan satu objek misteri yang dipercayai jatuh daripada angkasa di kawasan Pantai Kampung Tanjung, Nenasi di sini.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, objek yang belum dikenalpasti itu ditemukan penduduk pada 30 Disember lalu di Pantai Kampung Tanjung Nenasi.
“Siasatan telah di jalankan oleh Bahagian Penguasa Angkasa Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Perancangan Dan Pembudayaan Sains) bersama Jabatan Tenaga Atom Malaysia Cawangan Pantai Timur.
“Siasatan awal mendapati objek tersebut disahkan bebas daripada sabarang radiasi,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal mendapati serpihan objek disyaki jatuh dari angkasa ke dalam laut dan dihanyutkan oleh arus air laut ke kawasan Pantai Nenasi di sini.
Katanya, objek itu dibawa ke Balai Polis Nenasi di sini untuk disimpan sementara sebelum dibawa untuk proses siasatan selanjutnya ke Bahagian Penguasa Angkasa Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi.
“Siasatan masih dijalankan oleh pihak berkenaan bagi mengenal pasti objek yang dijumpai,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














