JAKARTA – Presiden Prabowo Subianto menyatakan bahawa pihak swasta berminat untuk membeli lumpur yang menenggelamkan beberapa kawasan di Pulau Sumatera, khususnya wilayah Aceh, lapor laman berita Tribun hari ini.
Prabowo berkata, perkara itu diketahui berdasarkan laporan oleh ketua daerah-daerah yang terjejas.
Menurutnya, tiada masalah sekiranya mereka mahu menjual sisa lumpur itu.
“Gabenor wilayah melaporkan kepada saya ada pihak swasta yang tertarik (untuk membeli lumpur), tidak hanya di sungai, tapi yang di sawah dan sebagainya.
“Silakan, perkara ini saya kira bagus sekali. Justeru, tolong ini didalami dan kita laksanakan,” kata Prabowo di Aceh Tamiang semalam.
Menurutnya, pemanfaatan lumpur tersebut bukan sahaja dapat membantu mempercepatkan pemulihan sungai, tetapi turut memberikan manfaat langsung kepada pemerintah daerah.
“Nanti juga bermanfaat jika lumpurnya boleh dijual dan jika ada pihak swasta mau membeli, manfaatnya boleh dinikmati oleh daerah-daerah,” kata Prabowo.
Beliau berkata demikian ketika menyokong usul membersihkan sungai selepas bencana banjir dahsyat yang melanda baru-baru ini, bermula dari muara hinggalah ke laut. – AGENSI














