DUNGUN – Jenazah Mohd. Fazir Shafie, 37, yang lemas bersama kakaknya di Pantai Sura Tengah, di sini semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir di sini, sebentar tadi.
Upacara pengebumian yang dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga, saudara dan kenalan dalam suasana pilu itu selesai pada pukul 3.15 petang.
Jenazah Mohd. Fazir yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik disemadikan bersebelahan pusara kakak sulungnya, Nor Baizura, 39, yang juga terkorban dalam insiden tersebut.
Terdahulu, jenazah Nor Baizura selamat dikebumikan lebih awal malam semalam selepas ditemui lemas oleh pasukan penyelamat di Pantai Sura Tengah pada pukul 10.54 pagi.- KOSMO! ONLINE














