GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang akan melaksanakan penutupan berperingkat Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau dikenali jambatan kedua sempena penganjuran PDRM Penang International 2nd Bridge Solidarity Fun Ride 2026 yang dijadual berlangsung bermula Sabtu hingga awal pagi Ahad ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, acara kayuhan basikal itu akan diadakan pada Sabtu bermula pukul 9.30 malam dan dijangka tamat pada Ahad, pukul 3 pagi, melibatkan penyertaan kira-kira 2,600 peserta.
Menurut beliau, sehubungan itu, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah akan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula pukul 8.30 malam, Sabtu hingga 3 pagi, Ahad bagi memastikan keselamatan peserta dan kelancaran program.
Selain penutupan jambatan, Azizee berkata, beberapa jalan utama lain akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula pukul 6 petang pada hari yang sama melibatkan kawasan sekitar daerah Barat Daya.
“Penutupan peringkat pertama pada pukul 6 petang melibatkan Bulatan Queen 1, Bulatan Queensbay/Harapan serta susur ke Queensbay dari Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke Bayan Baru dan George Town,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, penutupan peringkat kedua pula bermula pukul 8 malam melibatkan setiap persimpangan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menuju ke susur naik dan turun Jambatan Kedua, selain Bulatan Batu Maung menghala ke pusat bandar di mana semua kenderaan diwajibkan menggunakan laluan flyover.
Katanya, penutupan peringkat ketiga akan bermula pukul 8.30 malam melibatkan kesemua susur masuk dan keluar Jambatan Kedua bagi kedua-dua arah sehingga tamat program.
“Sehubungan itu, pengguna jalan raya dari Pulau Pinang ke Seberang Perai dinasihatkan menggunakan Jambatan Pertama Pulau Pinang sebagai laluan alternatif, manakala pengguna dari Lebuh Raya Utara-Selatan boleh menggunakan Tol Tambun, Tol Jawi atau terus ke Jambatan Pertama.
“Bagi pengguna dari utara dan selatan yang menuju ke Bandar Cassia pula, mereka disarankan melalui kawasan Bukit Tambun, manakala kenderaan dari tanah besar ke Bayan Lepas atau Bayan Baru hendaklah melalui Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Bulatan Bayan Baru,” katanya. – KOSMO! ONLINE














