KUALA LUMPUR – Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail akan ditutup bermula pukul 3 pagi esok sempena perarakan Festival I LITE U 2026.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, penutupan laluan itu akan dijalankan sehingga pukul 3 pagi 4 Januari.
Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa dilaporkan berkata, raptai penuh perarakan akan diadakan pada 1 Januari bermula pukul 6 petang.
Beliau berkata, acara rasmi pula akan berlangsung esok bermula pukul 7.30 hingga 10 malam yang membabitkan penutupan penuh jalan berkenaan.
Festival I LITE U bakal menjadi acara pembuka tirai Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ia dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dijangka turut dimeriahkan dengan kehadiran pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh. – KOSMO! ONLINE














