JAKARTA – Pengguna jalan raya di Semarang, wilayah Jawa Tengah digemparkan dengan penemuan sebuah beg misteri dipercayai berisi bom, lapor laman berita Detik.
Kejadian berlaku di laluan keluar Tol Banyumanik baru-baru ini.
Imej dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @smrginfo menunjukkan seorang anggota pemusnah bom yang memakai pakaian khas memeriksa kandungan beg tersebut di tepi jalan.
Ketua Polis Semarang, Pesuruhjaya Kanan Muhammad Syahduddi tampil menjelaskan bahawa beg itu tidak mengandungi bom seperti yang didakwa.
“Tiada bahan letupan. Pasukan Unit Pemusnah Bom telah melakukan pemeriksaan dan ia hanya mengandungi sejumlah pakaian termasuk seluar dalam.
“Kami sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemilik beg itu. Kami mengesyaki ia tertinggal di tepi jalan,” kata Muhammad Syahduddi. – AGENSI














