PETALING JAYA – Tindakan usahawan terkenal, Haliza Maysuri menempah kain kapan khas rekaan pereka fesyen tersohor, Rizalman Ibrahim mendapat perhatian orang ramai apabila disifatkan sebagai persediaan luar kebiasaan menghadapi kematian.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Haliza menerusi satu hantaran di media sosial apabila dia memuat naik video pertemuannya bersama Rizalman selain memaparkan sesi ‘unboxing’ kit kapan berkenaan.
Difahamkan, set kit kapan tersebut ditempah khas dan dianggarkan berharga sekitar RM999 bagi setiap set, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.
Menurut Haliza, keputusan berkenaan dibuat sebagai satu bentuk peringatan diri agar sentiasa bersedia menghadapi kematian selain persediaan awal untuk kehidupan di alam akhirat.
“Selalu saya tempah busana dunia harga ratusan ribu, selalu dikecam. Mati nanti pakai kain kapan sahaja.
“Hari ini, saya tempah pakaian alam kubur jenama Rizalman Ibrahim,” ujarnya.
Tambahnya, pemilihan kain kapan berjenama itu dianggap seimbang dengan gaya hidupnya selama ini yang sinonim dengan dunia fesyen dan barangan mewah.
“Pakaian dunia saya berjenama, akhirat pun kenalah yang terbaik dan berjenama. Barulah seimbang dunia dan akhirat,” katanya.
Malah, usahawan itu turut menyifatkan tempahan berkenaan sebagai satu wasiat peribadi sekiranya dia meninggal dunia kelak.
“Ini wasiat. Kalau saya mati, saya tak nak kain kapan biasa. Saya nak kain kapan ini. Sebagaimana baju saya di dunia, begitu jugalah jenama mati saya.
“Yang sibuk mengira dosa orang, dah tempah ke kain kapan untuk bawa mati?,” katanya. – KOSMO! ONLINE














