PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar pembinaan segera dilaksanakam bagi menggantikan titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai yang runtuh semalam hingga mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam serta menjejaskan akses harian penduduk.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, susulan itu, kerja penggantian jambatan terbabit akan dilaksanakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama
agensi berkaitan.
Katanya, kerjasama itu bagi memastikan tindakan pantas dapat dilaksanakan dengan berkesan selain menjamin keselamatan dan akses penduduk setempat.
“Perdana Menteri memandang serius insiden runtuhan sebuah titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai semalam yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam serta menjejaskan akses harian penduduk sekitar di Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Kampung Batu Pagar.
“Susulan insiden itu, Perdana Menteri telah mengarahkan agar peruntukan disediakan bagi menggantikan jambatan berkenaan segera demi keselamatan dan kemudahan rakyat,” katanya hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut menzahirkan simpati dan keprihatinan mendalam kepada lebih 50 mangsa yang terlibat dalam kejadian itu, khususnya pasangan pengantin dan keluarga yang diuji dengan musibah.
Semalam, lebih 50 tetamu termasuk rombongan pengantin lelaki berdepan detik cemas selepas mereka terjatuh ke dalam sungai apabila sebuah titi gantung di Sungai Chatel Damai, Lata Rek runtuh semasa mereka dalam perjalanan untuk menghadiri kenduri perkahwinan.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu dipercayai berlaku semasa rombongan pengantin lelaki sedang dalam perjalanan pulang sebelum bertembung dengan tetamu yang selesai menghadiri kenduri di atas titi gantung tersebut. – KOSMO! ONLINE














