fbpx
Enam suspek ketika di hadapkan ke Mahkamah Sesyen , Johor Bahru di sini hari ini.-Foto BAZLAN IBRAHIM

6 sekawan didakwa merusuh guna pisau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Enam rakan mengaku tidak bersalah atas tuduhan merusuh menggunakan senjata dan menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki yang boleh menyebabkan kematian di Taman Mount Austin, di sini, Disember lalu.

Kesemua tertuduh, Choy Soon Chye, 41; Soo Toh Siang, 30; Soh Say Shin, 36; Tan Shen Qi, 21; Yap See Hong, 26; dan Calvin Phua Khim Hau, 29; membuat pengakuan tersebut di dua mahkamah berasingan.

Di Mahkamah Sesyen, keenam-enam tertuduh dituduh mencapai niat bersama telah dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas lelaki berusia 28 tahun dengan menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian seperti sebilah pisau pemotong daging, pistol pegun, kerusi plastik dan batang besi.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebulan restoran di Taman Mount Austin, di sini, pada pukul 3.30 pagi, 27 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, lapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Di Mahkamah Majistret, keenam-enam tertuduh dituduh mengambil bahagian dalam rusuhan dan memiliki pisau serta kerusi plastik, iaitu senjata yang boleh digunakan untuk menyerang.

Perbuatan itu dilakukan di lokasi, masa dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Muhammad Fitri Mokhtar membenarkan jaminan RM3,500 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Afdhallan Syafiq Azmy dan Siti Aishah Latif manakala kesemua tertuduh diwakili peguam T. Haressh dan Amarpreet Singh Rajwinder Singh.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Februari depan bagi serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI