HULU SELANGOR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima kira-kira 50 permohonan berkaitan pindaan status bangsa kepada Baba Nyonya pada kad pengenalan, setakat ini.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak 11 permohonan telah diluluskan oleh pihaknya.
Jelasnya, proses kelulusan dibuat secara teliti bagi memastikan setiap permohonan disertakan bukti yang kukuh dan menepati syarat.
“Setakat ini sekitar 50 permohonan diterima, dan kira-kira 11 kelulusan telah diberi kelulusan.
“Kita proses dari semasa ke semasa. Bukan hanya Baba Nyonya, malah masyarakat Siam tempatan juga ada memohon,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan kad pengenalan (daftar lewat) kepada tujuh beradik di Sungai Buaya, hari ini.
Menurutnya, masyarakat Siam di beberapa negeri seperti Kelantan dan Kedah yang lahir serta menetap di negara ini turut diberikan pengiktirafan bangsa Siam, berbeza dengan warga Thai yang berhijrah ke Malaysia.
Jelas beliau, sistem pendaftaran bangsa di JPN bersifat dinamik dan boleh dipinda sekiranya terdapat dokumen sokongan yang kukuh, termasuk melibatkan status bangsa, nama dan gelaran.
“Tiada yang statik. Asalkan ada bukti salasilah keluarga, dokumen sokongan kita pertimbang. Sama ada Melayu, India, Baba Nyonya atau lain-lain,” ujarnya.
Beliau menambah, buat masa ini permohonan pindaan bangsa perlu dilakukan secara fizikal di pejabat JPN, namun pembangunan sistem bagi perkhidmatan hujung ke hujung (end-to-end) sedang dirancang.
Terdahulu, media melaporkan, projek perintis bagi mendaftarkan secara rasmi keturunan Baba Nyonya dalam dokumen rasmi komuniti berjalan lancar, sekali gus membuka jalan untuk pelaksanaannya di seluruh negara bermula, semalam.
Pengerusi Persatuan Baba dan Nyonya Malaysia, Datuk Ronald Gan berkata, inisiatif yang bermula di Melaka pada 1 Okt di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu akan membolehkan masyarakat Baba Nyonya di Malaysia diiktiraf secara rasmi sebagai keturunan etnik yang tersendiri buat pertama kalinya. – KOSMO! ONLINE














