ALOR SETAR – Polis menahan seorang wanita berusia 34 tahun dipercayai bertindak agresif terhadap anggota polis serta mencetuskan kekecohan awam dalam kejadian di Mergong, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian pukul 1.11 petang itu, suspek dikatakan bertindak menumbuk seorang pekerja di sebuah syarikat di kawasan berkenaan sebelum anggota polis dikerah ke lokasi untuk mengawal keadaan.
“Setibanya di lokasi, anggota polis mendapati suspek sedang membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam. Polis kemudian memperkenalkan diri serta cuba menenangkan keadaan dengan memujuk suspek supaya bertenang dan memberikan kerjasama.
“Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dan provokatif dengan meninggikan suara, memaki hamun serta membuat isyarat lucah dengan menunjukkan jari tengah ke arah salah seorang anggota polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek turut membaling kad pengenalannya ke arah anggota polis berkenaan, selain meludah ke arah anggota tersebut sebanyak dua kali serta meludah ke arah beberapa individu lain yang berada di lokasi kejadian.
“Wanita itu juga mengeluarkan kata-kata menghina agama Islam dan kejadian tersebut dirakam oleh orang awam sebelum video berkenaan tular di aplikasi TikTok.
“Suspek ditahan pada pukul 2.30 petang tadi dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar, esok bagi permohonan reman untuk membantu siasatan,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE














