PETALING JAYA- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petani, penternak dan nelayan di negara ini atas usaha serta pengorbanan mereka dalam menjamin keterjaminan makanan negara.
Menurut beliau, sumbangan golongan berkenaan amat besar dan menjadi tunjang kepada kelangsungan bekalan makanan untuk rakyat Malaysia.
“Tanpa mengenal penat lelah, mereka terus berbakti di sawah, ladang dan lautan demi memastikan hasil tuaian, ternakan dan tangkapan sentiasa mencukupi di meja makan rakyat,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2026 hari ini.
Mohamad berkata, jasa dan sumbangan warga pertanian, perikanan dan penternakan negara amat dihargai serta tidak ternilai.
Beliau turut menzahirkan harapan agar tahun 2026 membawa kesejahteraan, perpaduan dan kehidupan yang lebih baik buat seluruh rakyat Malaysia.
“Saya berharap kita semua terus bersatu hati, saling menyokong dan bersama-sama memperkukuh kekuatan negara demi masa depan yang lebih cerah,” ujarnya.
Mengulas komitmen kementerian, beliau menegaskan bahawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus memperkasa sektor pertanian, perikanan dan penternakan negara.
Usaha itu, katanya, akan dilaksanakan melalui sokongan berterusan, penerapan inovasi serta dasar yang berteraskan kebajikan rakyat.
Beliau mengakhiri perutusan dengan mengajak semua pihak bersama-sama menjayakan agenda keterjaminan makanan negara demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Mohamad turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat negara ini.- KOSMO! ONLINE














