fbpx
ANWAR semasa berucap dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 (kiri) dan misi pelayaran Global Sumud Flotila turut melibatkan penyertaan rakyat Malaysia ditahan tentera Israel mendebarkan negara (kanan).

Rangkuman 2025: 6 momen utama, terbesar Malaysia tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

1- Kejayaan Malaysia terajui ASEAN

Tahun 2025 yang merupakan tahun kepengerusian ASEAN oleh Malaysia mencatatkan sejarah dengan pengiktirafan Timor-Leste sebagai ahli ke-11 pertubuhan tersebut.

Tahun 2025 penuh warna dan Malaysia juga melalui pelbagai cerita suka dan duka yang pasti akan diingati dalam lipatan sejarah negara.

Antara memori manis yang pastinya mentakrifkan pencapaian negara tahun ini ialah kecemerlangan yang ditonjolkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi edisi 2025.

Malaysia dilihat menyerlah sebagai penggerak utama ASEAN apabila kepengerusiannya mencatat kejayaan membanggakan di persada serantau dan global. Bukan sahaja mengukuhkan hubungan diplomatik dengan anggota ASEAN, malah diperhebat kerjasama dengan kuasa besar dunia.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober lalu menjadi medan utama perbincangan strategik serantau dan antarabangsa. Ia mencatatkan kehadiran lebih 20 pemimpin dunia.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN juga menganjurkan pelbagai persidangan serantau, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28, ASEAN-India ke-27 dan ASEAN-Amerika Syarikat ke-13. Langkah ini memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai penghubung kerjasama antara Timur dan Barat.

Salah satu pencapaian paling bersejarah ialah pengiktirafan Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN selepas penantian 14 tahun. Penyertaan Timor-Leste memperkukuh Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan membina kerjasama serantau lebih strategik.

Sidang kemuncak itu turut menyaksikan usaha perdamaian serantau antara Thailand dan Kemboja.

Malaysia memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN dengan keseda­ran mengenai amanah besar yang perlu digalas negara.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan masa depan ASEAN dibentuk melalui tindakan semasa. Beliau juga menyeru anggota untuk memperbaharui hala tuju blok serantau dan memastikan kerjasama yang berterusan.

2- Kehadiran dua pemimpin kuasa besar dunia

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 26 hingga 27 Oktober lalu bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Lawatan ini merupakan kunjungan sulung Trump ke rantau Asia Tenggara sejak beliau dipilih sebagai Presiden ke-47 AS pada Januari lalu. Konvoi rasmi Presiden Trump ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur turut menarik perhatian netizen luar negara apabila keadaan lebuh raya yang bersih dan teratur.

“Lebuh raya itu kelihatan bersih berbanding negara lain tetapi masih ramai menganggap Malaysia sebagai negara dunia ketiga,” kata seorang netizen.

Trump bahkan memuji Malaysia sebagai negara hebat dan sangat bertenaga.

Kejayaan Malaysia menguruskan lawatan pemimpin dunia menarik perhatian antarabangsa, termasuk kumpulan pelaburan terbesar dari New York yang kagum dengan infrastruktur dan keupayaan negara.

Terdahulu, negara turut dikunjungi Presiden China, Xi Jinping yang mengadakan lawatan selama tiga hari ke Malaysia dari 15 hingga 17 April lalu.

3- Sumud Flotila ditahan Israel

Misi kemanusiaan antarabangsa Global Sumud Flotilla turut disertai rakyat Malaysia antaranya golongan selebriti terkenal.

GLOBAL Sumud Flotilla (GSF), misi kemanusiaan antarabangsa yang melibatkan sukarelawan dari lebih 40 negara menarik perhatian dunia selepas pesertanya termasuk 23 rakyat Malaysia ditahan oleh tentera Israel.

Misi GSF bertujuan memecah sekatan laut ke atas Gaza dan menghantar bekalan asas seperti makanan, ubat-ubatan serta barangan penting kepada rakyat Palestin.

Ia dipimpin aktivitis dunia, Greta Thunberg.Antara peserta Malaysia ialah golongan pempengaruh dan selebriti yang menyertai kapal-kapal berbeza. Kapal-kapal flotila berlepas dari Barcelona pada 31 Ogos lalu dan bergabung dengan kumpulan antarabangsa lain sebelum menuju ke perairan Gaza. Pada 1 Oktober lalu, kapal-kapal flotila dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa Laut Mediterranean. Semua 23 sukarelawan Malaysia ditahan dan dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Kejadian itu menyebabkan seluruh negara cemas. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengarahkan umat Islam menunaikan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah di masjid dan surau seluruh negara. Kesemua rakyat

Malaysia yang terlibat akhirnya kembali dengan selamat hasil usaha diplomatik rentas sempadan kerajaan melibatkan rundingan bersama pemimpin Qatar dan Turkiye.

4- Segamat dilanda gempa

JOHOR dikejutkan dengan beberapa siri gempa sejak 24 Ogos lalu.

Dianggap negara yang terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, Malaysia gempar apabila beberapa siri gempa melanda Johor bermula 24 Ogos lalu. Gempa pertama berlaku pada magnitud lemah 4.1 Skala Richter yan melanda kawasan 5 kilometer (km) barat Segamat dengan kedalaman kira-kira 10km pada pukul 6.13 pagi.

Tidak sampai tiga jam kemudian iaitu kira-kira pukul 9 pagi pula, gegaran kedua berukuran 2.8 magnitud direkodkan di Yong Peng.

Pada 27 Ogos pukul 8.59 pagi, gempa 3.2 magnitud dikesan di selatan Segamat, menandakan kejadian ketiga dalam tempoh empat hari.

Keesokan harinya, pada 28 Ogos pukul 7.56 malam, gegaran 2.5 magnitud berlaku di utara Segamat. Satu lagi gempa bumi 3.4 magnitud kemudian direkodkan pada 29 Ogos pukul 4.24 pagi, menjadikan kejadian kelima dalam masa lima hari.

Pada 30 Ogos pukul 7.29 pagi, berlaku lagi gegaran 2.7 magnitud di Segamat. Gegaran susulan berlaku di Semerah, Batu Pahat pada pukul 1.57 tengah hari, 31 Ogos lalu dengan magnitud 3.0.

Terbaharu, pada 3 November lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan satu kejadian gempa bumi lemah direkodkan dengan magnitud 2.7 Skala Richter di Segamat dan pada 28 Disember lalu berskala 3.4 Skala Richter di Bukit Kepong, Pagoh.

Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengesahkan kejadian tersebut bukannya berpunca daripada aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam.

JMG berkata, Malaysia terletak di atas Plat Sunda yang relatif stabil, namun menerima pengaruh tekanan daripada sistem tektonik serantau, khususnya Jalur Subduksi Sunda di barat Sumatera.

“Kejadian ini menunjukkan berlakunya pengaktifan semula sesar berkenaan. Kedalaman gempa cetek (+/-10 km) mengesahkan ia berpunca daripada pergerakan kerak benua, bukan aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam,” kata JMG menerusi satu kenyataan.

Walaupun gempa bumi di Johor termasuk jarang berlaku dan kebanyakannya berskala lemah, siri gegaran ini menjadi peringatan bahawa aktiviti tektonik di Semenanjung Malaysia masih wujud, khususnya di zon sesar lama seperti Mersing Fault Zone. Pakar geologi menyatakan bahawa walaupun risiko kejadian besar masih rendah, ia tidak boleh diabaikan sepenuhnya.\

5- Nahas UPSI: Fenomena Nurly Shahirah

Di sebalik nahas yang mengorbankan 15 pelajar UPSI, tersingkap sisi solehah Nurly.

Pada 9 Jun lalu, negara diselubungi duka dengan kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang sedang dalam perjalanan menuju ke kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari Jerteh, Terengganu dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Gerik, Perak.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 1.10 pagi itu telah meragut nyawa 15 pelajar.

Salah seorangnya adalah pelajar berusia 23 tahun, Nurly Shahirah Azman yang meninggal dunia di lokasi kejadian dalam keadaan sedang memegang senaskhah al-Quran. Mencuri perhatian adalah apabila ada yang memberitahu bahawa lokasi kematian dan juga kubur arwah dikatakan sangat wangi.

Menurut perkongsian keluarga Nurly, arwah sememangnya seorang yang tidak pernah meninggalkan al-Quran walau ke mana sahaja dia pergi, selain sering meminta gurunya untuk menguji bacaan hafazannya.

Begitu pun, kematian arwah telah menyebabkan ada yang membawa pulang tanah kubur selepas menziarahi pusara arwah yang terletak di Tanah Perkuburan Kampung Gong Pasir, Jerteh.

Terdahulu tular dakwaan berlaku perbuatan khurafat seperti mengambil dan menyapu muka dengan tanah kubur Nurly kononnya untuk berubat serta mengambil berkat.

Bapa Nurly, Azman Mohamad, 63, berkata, keluarganya dan penduduk kampung kesal apabila segelintir pengunjung dikatakan melakukan perkara khurafat membawa pulang cebisan tanah dari kubur arwah anak bongsunya itu.

6- Gema nama Zara Qairina seluruh negara

Kes kematian Zara Qairina mendapat perhatian ramai, manakala inkues menyiasat punca kematiannya turut dijalankan.

Pada 16 Julai lalu, negara dikejutkan dengan berita pilu melibatkan seorang pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira pukul 3 pagi.

Zara kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, namun disahkan meninggal dunia pada 17 Julai akibat kecederaan serius yang dialaminya.

Insiden ini terus mencetuskan pelbagai spekulasi dan persoalan dalam kalangan masyarakat apabila kematian Zara tular di media sosial termasuk dakwaan yang mengaitkan kejadian itu dengan elemen buli di asrama. Perkara itu menjadi perbualan hangat dan mendapat perhatian bukan sahaja di Sabah, tetapi juga seluruh negara bahkan dikatakan menular hingga ke negara jiran.

Hasil siasatan lima remaja kemudian didakwa di Mahkamah Kanak-klanak pada 20 Ogos lalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara.

Pada masa sama prosiding inkues telah berlangsung sejak 3 September lalu bagi menyiasat secara terperinci semua aspek termasuk keadaan sebelum kejadian serta faktor yang membawa kematian pelajar itu.

Prosiding inkues dimulakan di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu dikendalikan oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan. Begitu pun, pada 5 Disember lalu, Mahkamah Koroner menangguhkan inkues yang telah berjalan selama 52 hari dan mengumumkan bahawa perbicaraan akan disambung semula pada 21 Januari depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN