fbpx
PUTERI Sarah memberi nasihat kepada Dr. Afifah berkaitan masalah rumah tangga.

‘Memang sakit hati, tapi kita kena bijak’ – Nasihat Puteri Sarah buat Dr. Fie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Sakit hati sangat, saya tahu tapi kita harus bertindak dengan bijak dan rancang dengan berhati-hati.”

Demikian nasihat pelakon Puteri Sarah Liyana kepada bekas isteri penyanyi, Nubhan iaitu Dr. Afifah Hidayah susulan dakwaan dihalau keluar dari kediaman sendiri tanpa sebarang notis.

Dalam masa sama, pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 40, menyarankan Dr. Afifah atau lebih mesra disapa Dr. Fie mendapatkan nasihat perundangan dan berbincang dengan peguam bagi menentukan langkah sewajarnya terhadap bekas suaminya.

“Saya percaya peguam awak sekarang adalah peguam saya dahulu, Datuk Akberdin.

“Beliau seorang yang sangat bijaksana.

“Duduk berbincanglah dengan beliau tentang cara terbaik untuk mendapatkan semula (hak) dengan bijak. Kawal emosi awak, bertindak dengan bijak,” katanya dalam Threads.

Selain itu, pelakon drama Polis Peronda itu turut mengingatkan agar sebarang perancangan tidak didedahkan lebih awal demi mengelakkan pihak lawan bersedia menghadapi tindakan tersebut.

“Jangan beritahu perancangan awak, tahu-tahu dah laksanakan biar jadi kejutan buat pihak sana (Nubhan).

“Selamat maju jaya, insya-Allah semuanya akan baik-baik saja,” jelasnya.

Sebelum ini, media sosial kecoh dengan tindakan Nibhan menghantar barangan milik bekas isteri ke rumah mentuanya ketika Dr. Fie bersama anak serta ibu bapanya bercuti di Vietnam.

Menerusi foto dan video dikongsikan wanita terbabit di Threads, kelihatan barangan peribadi termasuk haiwan peliharaan anak mereka, hamster dilonggokkan di depan rumah ibu bapa dalam keadaan tidak terurus.

Dr.Fie juga tidak menyangka bekas suaminya bertindak sedemikian tanpa menunggu proses pembahagian harta sepencarian diputuskan.

Lebih meruntun perasaan apabila dia turut menyatakan perbuatan Nubhan menghantar pakaiannya ke rumah keluarga juga bukan yang pertama kali memandangkan perkara sama sudah pernah berlaku ketika awal perkahwinan mereka.

Menerusi laman sosial, rata-rata netizen turut bersimpati dan naik berang dengan pendedahan Dr. Fie yang terkilan diperlakukan sedemikian rupa, masing-masing turut menyifatkan tindakan peserta Gegar Vaganza 12 itu sebagai pengecut.

Terdahulu, Dr. Fie dan Nubhan yang bercerai talak dua pada awal bulan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.

Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Aafiya, 8, Ahmad Aafan, 6, dan Afzan Nayille, 3. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI