KOTA TINGGI – Hasrat seorang pemuda mahu menjadi peniaga dengan menjalankan perniagaan dalam talian bertukar mimpi ngeri apabila menjadi salah seorang daripada mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar selama setahun.
Mangsa dikenali sebagai Chew, 26, berkata dia mula tertarik dengan tawaran iklan jualan gudang dari Facebook pada Oktober tahun lalu sebelum diminta hadir ke Bangkok untuk melihat sendiri barang jualan seperti makanan, minyak wangi dan lain-lain lagi.
Katanya dia mula merasa sesuatu tidak kena apabila sebaik sampai di negara itu, wakil pihak gudang terbabit memaklumkan kawasan gudang dilanda banjir dan perlu ke lokasi lain.
“Saya dibawa ke sebuah wilayah bernama Tak disitu saya dibawa ke sebuah rumah dua tingkat saya disuruh mencari mangsa di Facebook, TikTok melalui ayat-ayat cinta untuk menarik mereka memberikan maklumat seperti nama, nombor telefon.
“Sehari saya perlu mencari 30 mangsa kesemuanya dari Hong Kong. Jika saya tidak dapatkan saya akan dipukul dengan besi. Pernah juga saya cuba melarikan diri dengan cuba hubungi kenalan di laman sosial tetapi dapat dikesan oleh mereka.
“Akibatnya saya digari, dipukul, direnjat elektrik dan tidak beri makan. Lima kali juga saya cuba berbuat demikian dan sebanyak itu juga saya diperlakukan seperti itu,” katanya pada sidang media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng di Kota Tinggi di sini hari ini.
Katanya kira-kira 60 orang dari Malaysia dikerah melakukan sindiket penipuan itu dimana yang mana tugasan mereka hanya perlu mencari nombor telefon mangsa sebelum diserahkan kepada pihak kedua. – KOSMO! ONLINE














