KEJUARAAN Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan pastinya menjadi lebih menarik untuk diikuti peminat-peminat sukan tanah air apabila pelumba negara, Muhammad Hakim Danish Ramli bakal bakal bersaing dalam kelas Moto3.
Pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu bakal menyarung sut pasukan MT Helmets MSI selepas menampilkan aksi cukup baik sepanjang saingan musim ini, termasuk menamatkan aksi JuniorGP di kedudukan kelapan keseluruhan.
Bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah berkongsi nasihat buat Danish menjelang penampilan sulungnya sebagai pelumba tetap bagi saingan musim depan selepas beraksi menerusi tiket wildcard pada Grand Prix (GP) Malaysia Oktober lalu.
Hafizh yang pernah beraksi bersama pasukan Tech3 Yamaha pada musim 2018 berharap Danish dapat menunjukkan kemampuan sebenar, sekali gus menutup mulut pihak-pihak yang memandang rendah pelumba Asia.
“Nasihat saya kepada Danish adalah untuk menampilkan aksi yang konsisten kerana itu merupakan perkara paling penting. Kita pelumba Asia sering dipandang rendah oleh orang Eropah, jadi kita perlu lawan perasaan itu.
“Selain itu, sentiasa percaya kepada diri sendiri, kekal merendah diri selain cuba memahami maklum balas daripada pasukan. Kalau ada yang tidak kena, cuba sesuaikan dengan gaya tunggangan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Hafizh turut menjelaskan, setiap kejuaraan menawarkan cabaran yang berbeza, sekali gus menuntut setiap pelumba untuk memiliki pendekatan tersendiri sepanjang minggu perlumbaan.














