PETALING JAYA – Kerajaan Persekutuan telah mewartakan hari kelepasan am bagi tahun 2026 iaitu Hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari depan.
Menerusi kenyataan Kementerian Sumber Manusia, sehubungan itu cuti Hari Wilayah Persekutuan adalah cuti yang wajib diberikan oleh majikan sektor swasta yang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kepada pekerja.
“Ini sebagaimana peruntukan Seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 [Akta 265] dan tidak boleh diganti.
“Memandangkan cuti Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada Ahad, maka majikan menetapkan hari Ahad sebagai rehat mingguan pekerja hendaklah memberi cuti gantian pada hari bekerja berikutnya (Isnin),” menurut kenyataan itu hari ini.
Selain itu, majikan yang memilih cuti perayaan Hari Thaipusam sebagai baki enam hari kelepasan am yang dipilih sebagaimana Subseksyen 60D(1)(a) Akta 265, perlu memberi cuti gantian pada hari bekerja berikutnya iaitu Selasa, memandangkan terdapat pertindihan kedua-dua hari kelepasan am ini.
“Majikan juga boleh memberikan pekerja mana-mana hari lain sebagai hari kelepasan berbayar sebagai ganti dengan persetujuan pekerja sebagaimana Seksyen 60D(1A).
“Pekerja yang diarah bekerja pada hari kelepasan am layak menerima kadar gaji bagi cuti am seperti ditetapkan dalam Seksyen 60D(3),” kata Kementerian Sumber Manusia. – KOSMO! ONLINE














