REMBAU – Seekor ular sawa seberat 120 kilogram (kg) yang cuba ditangkap bertindak agresif menyebabkan penduduk terpaksa membunuhnya bagi mengelak kejadian tidak diingini di Kampung Chembung Kecil di sini awal pagi tadi.
Seorang penduduk, Kamarudin Ibrahim, 36, berkata, dia dan ahli keluarga lain sudah berjaga-jaga kerana ular sawa berkenaan telah datang pada tengah malam sebelumnya ke kawasan itu dan sempat membelit salah seekor dari dua anjing penjaga kawasan berkenaan sehingga mati.
“Awal pagi tadi pada pukul 1 pagi, kami dengar bunyi salakan anjing yang agak luar biasa. Bila pergi ke arah belakang rumah kami dapat lihat ular sawa sepanjang kira-kira lima meter menyusur ke lokasi anjing yang dibelitnya hingga mati sebelum ini.
“Dalam keadaan panik, kami seramai enam orang berusaha menangkap sendiri ular sawa berkenaan. Namun, ular sawa agak agresif menyebabkan kami terpaksa mengetuk kepalanya dengan kayu hingga mati.
“Kami bimbang jika tidak ditangkap atau dibunuh, ular sawa bersaiz agak besar ini akan datang semula serta mengundang bahaya kepada kami terutamanya kanak-kanak serta binatang peliharaan seperti kucing,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.- KOSMO! ONLINE














