JAKARTA – Seorang lelaki di Kota Depok, wilayah Jawa Barat ditahan selepas memukul isterinya sehingga buta sebelah mata kerana berang tidak diberikan telefon bimbit untuk bermain permainan video, lapor portal berita Kumparan.
Kejadian berlaku di rumah sepupu mangsa di Bedahan, daerah Sawangan baru-baru ini.
Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Depok, Asisten Komisioner Made Budi berkata, suspek bernama Rifki Aditya, 21, ingin meminjam telefon bimbit isterinya untuk bermain permainan video tetapi ditolak.
“Penolakan itu menyebabkan mereka bertengkar sebelum suspek memukul muka mangsa dengan telefon bimbit.
“Mangsa mengalami kecederaan serius pada bola mata kiri yang berpotensi mengakibatkan buta.
“Berdasarkan keterangan dari pihak hospital, suspek turut menendang dan memijak mangsa, menyebabkan lututnya mengalami luka,” kata Made.
Dia didakwa di bawah Perkara 44 Undang-undang No. 23 Tahun 2004 tentang Penghapusan Keganasan Rumah Tangga (PKDRT). – AGENSI














