fbpx
Ketiga-tiga individu tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD

Wanita, remaja bawah umur mengaku tidak bersalah seludup lima warga Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Dua wanita termasuk seorang remaja bawah umur dan seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan penyeludupan migran membabitkan lima warga Myanmar pada 2 Disember lalu.

Tertuduh, Umi Kalsom Abidin, 29, dan remaja perempuan berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Roslan Hamid, manakala pertuduhan terhadap Kyaw Zin Lin, 19, tidak dibacakan kerana memerlukan khidmat jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi individu yang masih bebas, dengan niat bersama telah menjalankan aktiviti penyeludupan migran melibatkan lima warga Myanmar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta berhadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Mertajam, dalam daerah Seberang Perai Tengah, pada pukul 6.40 petang, 2 Disember lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Siti Nur Amalina Harun, manakala Kyaw Zin Lin diwakili peguam K. Puvirajan.

Siti Nur Amalina tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu bagi kehadiran jurubahasa.

Hakim kemudiannya menetapkan 13 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan jurubahasa Myanmar hadir ke mahkamah, selain tidak membenarkan ikat jamin terhadap kesemua tertuduh.

Difahamkan, kedua-dua wanita itu berperanan sebagai ‘transporter’, manakala seorang lagi dipercayai bertindak sebagai ejen sindiket. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI