WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan semalam bahawa kumpulan Hamas akan diberikan tempoh ‘sangat singkat’ untuk melucutkan senjata sebagai sebahagian daripada rundingan damai yang sedang berlangsung dan memberi amaran akibat buruk sekiranya syarat tersebut gagal dipatuhi, lapor laman berita Al Mayadeen.
“Kami bercakap tentang Hamas dan kami bercakap tentang perlucutan senjata. Mereka (Hamas) akan diberi tempoh masa sangat singkat untuk melucutkan senjata dan kita akan lihat bagaimana ia berlaku,” kata Trump semasa sidang akhbar bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Tambah beliau, Utusan Khas AS, Steve Witkoff dan menantunya, Jared Kushner akan menyelia isu perlucutan senjata bagi pihak Washington.
“Jika mereka tidak melucutkan senjata seperti yang dipersetujui, maka mereka akan menerima padah,” tambah Trump.
Pada sidang akhbar sama, Trump berkata, Israel telah memenuhi sepenuhnya kewajipannya di bawah rangka kerja keamanan Gaza dan menolak sebarang kebimbangan mengenai peranan Rejim Zionis.
“Saya tidak bimbang tentang apa yang dilakukan oleh Israel. Saya bimbang tentang apa yang dilakukan oleh orang lain atau mungkin tidak dilakukan. Namun tidak, Israel telah memenuhi rancangan itu 100 peratus,” kata Trump.
Dakwaan itu bagaimanapun sangat berbeza dengan fakta di lapangan. Sejak pengumuman inisiatif gencatan senjata Gaza, Israel berulang kali membunuh ratusan rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak serta terus meluaskan zon kuning dalam Semenanjung Gaza.
Perluasan itu telah menyebabkan perpindahan dan rampasan tanah selanjutnya.
Pendudukan Israel juga telah melanggar syarat-syarat gencatan senjata melalui pencerobohan berulang kali , penangkapan dan pembunuhan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat. – AGENSI














