PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan elemen muafakat dalam Kerajaan Perpaduan kekal mantap tanpa sebarang unsur pengkhianatan.
Perdana Menteri berkata, semangat kerjasama antara parti dalam gabungan kerajaan juga dibina atas dasar keikhlasan.
“Saya bersyukur kerana muafakat Kerajaan Perpaduan lebih mantap, lebih ikhlas dan tiada usaha sabotaj (atau) khianat seperti yang berlaku di kalangan rakan-rakan lain,” katanya menerusi sidang akhbar khas di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung senario terkini politik yang berlaku di Perlis.
Hari ini, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Januari ini.
Muhyiddin berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan kepada beliau selama memimpin gabungan itu sejak penubuhannya lima tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














