ALOR SETAR – Sebuah pesawat Boeing 737 milik Malaysia Airlines Berhad terpaksa membatalkan penerbangan selepas mengalami masalah tayar pecah ketika proses berlepas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini hari ini.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden melibatkan pesawat bernombor pendaftaran 9M-MXH itu berlaku kira-kira pukul 3.41 petang tadi.
Menurutnya, pesawat berkenaan dijadualkan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Semua penumpang dan kru dilaporkan selamat serta telah turun dari pesawat berkenaan.
“Landasan lapangan terbang ditutup sementara sehingga diberitahu kelak bagi membolehkan kerja-kerja berkaitan dijalankan,” katanya.
Orang ramai yang melakukan perjalanan melalui LTSAH dinasihatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sementara itu, Malaysia Airports memaklumkan landasan telah dibuka semula pada pukul 7.30 malam tadi selepas menerima kelulusan keselamatan akhir daripada CAAM. – KOSMO! ONLINE














