SHAH ALAM – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) mencipta sejarah tersendiri dengan membuka stesen minyak di atas tanah wakaf di Sungai Merab, dekat sini hari ini.
Stesen tersebut yang lengkap dengan restoran makanan segera dua tingkat merupakan projek pertama di Selangor dan antara terawal di negara ini yang dibangunkan di atas tanah wakaf.
Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata, projek berkenaan mula beroperasi secara rasmi semalam dan dijangka menjadi salah satu aset wakaf strategik di Selangor.
Katanya, stesen minyak dengan kerjasama Petron Malaysia dibangunkan menggunakan konsep Dealer-Owned Dealer-Operated bagi memastikan pengurusan operasi yang mampan serta pulangan optimum kepada wakaf.
“Insya-Allah, aset wakaf ini mampu menjana pendapatan berterusan, menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat serta merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan sekitarnya.
“Kejayaan projek ini membuktikan komitmen PWS terus memperkasa pembangunan wakaf secara bersepadu dan progresif demi memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan pembangunan sosioekonomi umat Islam di Selangor,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, keseluruhan kos pembangunan projek tersebut berjumlah kira-kira RM9 juta meliputi pembinaan bangunan, infrastruktur, khidmat perunding dan keperluan berkaitan.
“Kos ini digunakan sepenuhnya dana wakaf tunai orang ramai. Menariknya manfaat bagi projek ini akan diserahkan semula kepada Masjid Sungai Ramal Luar sebanyak 50 peratus seperti yang diniatkan oleh pewakaf tanah sebelum ini,” jelasnya.
Anuar turut memaklumkan bahawa projek tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di Selangor, malah boleh dianggap sebagai yang pertama di Malaysia yang dibangunkan di atas tanah wakaf dengan pengurusan dan operasi stesen minyak dikendalikan oleh syarikat wakaf.
“Pengurusan perniagaan stesen minyak itu dilaksanakan anak syarikat milik penuh PWS iaitu WS Energy 1 Sdn. Bhd., yang ditubuhkan khusus bagi menguruskan projek pembangunan wakaf berimpak tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














