PONTIAN – Seorang pemandu lori ais yang menjalani kehidupan biasa pada siang hari rupa-rupanya menyimpan sisi gelap apabila dipercayai terlibat dalam 16 kes pecah masuk melibatkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta rumah kediaman di enam daerah sekitar Johor.
Suspek berusia 42 tahun itu berjaya diberkas polis di sebuah kilang ais di Taman Universiti, Skudai pada Ahad lalu hasil risikan terperinci dan maklumat awam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussien berkata, lelaki berkenaan yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak menyesarkan peti besi dan wang tunai yang berada dalam pejabat kerajaan.
“Suspek bergerak seorang diri dan menyasarkan pejabat Nadi serta LPP kerana yakin terdapat wang simpanan yang mudah dipecahkan.
“Suspek menggunakan taktik licik dengan memutuskan bekalan elektrik terlebih dahulu bagi mengelakkan sistem keselamatan berfungsi sebelum memecah masuk premis terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, di sini hari ini.
Hadzrat berkata, enam daerah yang dikenal pasti terlibat ialah Pontian, Batu Pahat, Kluang, Kulai, Johor Bahru Utara dan Iskandar Puteri.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam 13 kes pecah pejabat Nadi, dua kes di pejabat LPP serta satu kes pecah rumah.
Tambahnya, enam pejabat Nadi di daerah Pontian menjadi sasaran termasuk di Benut, Permas, Kayu Ara Pasong, Ayer Baloi serta dua lokasi di bandar Pontian.
Beliau berkata, polis merampas pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah termasuk sebuah motosikal, peti besi, peralatan memotong besi, telefon bimbit pelbagai jenama, barangan kemas, resit pajak gadai serta peralatan elektronik.
“Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM24,000,” katanya.
Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan direman selama enam hari sehingga 2 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














