GUA MUSANG – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal dia tunggang bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 4, Jalan Gua Musang-Lojing dekat Kampung Kundur di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, mangsa, Muhammad Syafiq Aiman Muhammad Burhan, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala, tangan dan kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Gua Musang ke Lojing.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Honda Accord dari arah Blau ke Gua Musang dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa dan sebuah lagi motosikal jenis Honda EX5.
“Mangsa kemudia dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat manakala seorang lagi penunggang motosikal berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan dan kaki,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, pemandu bersama penumpang kereta Honda Accord tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














