fbpx
TANGKAP layar video insiden yang sempat dirakamkan pengunjung dalam kejadian di Pantai Klebang, Melaka, kelmarin.

Perubahan arah angin punca anggota TDM cedera latihan payung terjun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perubahan arah angin secara tiba-tiba dikenal pasti sebagai punca utama insiden kecederaan melibatkan seorang anggota Tentera Darat (TDM) semasa latihan pertunjukan payung terjun di Padang Encore, Klebang pada 28 Disember lalu.

Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Markas TDM, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.40 petang ketika anggota terbabit, Koperal Syed Mohd Azayuzil Afifi Syed Mohd Aziz dari Pusat Latihan Peperangan Khusus, melaksanakan penerjunan bebas bagi sortie kelima sempena persiapan Hari Ulang Tahun TDM ke-60.

“Siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada perubahan arah angin yang berlaku secara mendadak semasa fasa akhir pendaratan, menyebabkan anggota tidak dapat mendarat dengan sempurna atau mengalami ‘hard landing’,” menurut kenyataan itu.

Pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian bertindak pantas memberikan rawatan kecemasan sebelum anggota berkenaan dikejarkan ke hospital.

TDM memaklumkan bahawa Koperal Syed Mohd Azayuzil Afifi kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan rapi serta pemantauan lanjut di Hospital Besar Melaka.

Dalam perkembangan sama, TDM akan menubuhkan sebuah lembaga penyiasatan bagi mengenal pasti punca terperinci kejadian serta menilai langkah penambahbaikan prosedur keselamatan latihan, khususnya melibatkan faktor cuaca dan keadaan angin.

“TDM memberi jaminan kebajikan anggota dan keluarganya akan terus diberi keutamaan, selain memastikan segala bantuan dan sokongan sewajarnya disalurkan sepanjang tempoh pemulihan,” menurut kenyataan itu.

TDM turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan serta mendoakan kesembuhan segera anggota terbabit.

Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN