PETALING JAYA – Tangkap layar satu perbualan melalui aplikasi di WhatsApp seorang ibu yang ingin menghantar dua orang anaknya di rumah pengasuh hingga mencecah RM1,000 menjadi perbualan hangat pengguna media sosial hari ini.
Menerusi tangkap layar itu, ibu terbabit yang bekerja pada waktu pejabat ingin menghantar dua orang anaknya masing-masing berusia 3 bulan dan 3 tahun.
Menerusi penjelasan pengasuh tersebut, untuk anak berusia 3 bulan upah yang diambil adalah RM550, manakala bagi anak yang berusia 3 tahun upahnya adalah RM450.
“Perit juga, dua orang dah RM1,000. Keras betul kehidupan sekarang. Gaji tidak naik, kalau kita yang bayar ni semua benda naik,” tulis wanita tersebut.
Rata-rata pengguna media sosial turut meluahkan perasaan dan pengalaman mereka dalam menghantar anak di rumah pengasuh yang kini meletakkan tanda harga yang agak tinggi.
“Saya kerja shift, dua anak saya RM1,600. Seorang RM800. Nak tak nak kena juga upah. Duit gaji dah habis dekat pengasuh pun dah separuh,” kata Nuralia Sumayyah.
“bukan dekat Kuala Lumpur sahaja mahal, saya bekerj dekat Johor, upah pengasuh sekarang pun dah ecah RM600 bagi seorang anak,” kata Siti Mahanum.-KOSMO! ONLINE.














