JUARA Liga Wanita Nasional (LWN) 2025, Sabah FA kini mengalihkan perhatian ke pentas lebih besar apabila menyasarkan kelompok 12 pasukan terbaik beraksi di peringkat kumpulan dalam saingan Liga Juara-Juara Wanita Asia (AWCL) musim 2026/2027.
Ketua jurulatihnya, Bobby Gonzales memaklumkan pasukan akan diberikan tempoh rehat kira-kira sebulan sebelum kembali menjalani latihan pada Februari depan sebagai langkah awal membina persiapan rapi menghadapi kejohanan elit Asia itu.
Menurutnya, perancangan jangka sederhana turut merangkumi usaha memperkukuh barisan pemain apabila Sabah FA bercadang menambah sehingga empat pemain import bagi melengkapkan kuota maksimum enam pemain asing yang dibenarkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Kita sasarkan untuk layak ke pusingan 12 terbaik seperti yang pernah dicapai sebelum ini dan berusaha untuk mencatat prestasi yang lebih baik,” katanya.
Sasaran itu dilihat realistik memandangkan Sabah sebelum ini mencipta sejarah sebagai pasukan wanita Malaysia pertama berjaya mara ke peringkat kumpulan AWCL pada musim 2024/2025, sekali gus membuka laluan baharu buat kelab tempatan di peringkat benua.
Bagaimanapun, kempen liga musim ini tidak berakhir dengan sempurna apabila rekod tanpa kalah Sabah lebur selepas tewas tipis 0-1 kepada Selangor FC pada perlawanan terakhir LWN 2025.
Gol tunggal perlawanan disumbangkan oleh ketua pasukan Selangor, Nur Ainsyah Murad pada minit ke-19, manakala Sabah hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Win Theingi Tun yang mengenai palang gol pada minit ke-34.
Meskipun tewas, Sabah tetap menamatkan saingan sebagai juara dengan 37 mata daripada 14 perlawanan, sementara Selangor mengesahkan status naib juara dengan 34 mata, sekali gus menutup musim dengan persaingan sengit.














