PENGENDALI Selangor FC, Christophe Gamel percaya pasukannya sepatutnya mampu memastikan kemenangan lebih selesa ke atas Melaka FC pada aks Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin.
Gamel menjelaskan, objektif utama tidak hanya untuk memastikan tiga mata sebaliknya harus cuba mendapatkan lebih banyak jaringan untuk menjadi bekalan kepada penentuan kedudukan pada akhir musim.
“Kami memulakan permainan dengan rentak yang sangat baik dan agresif. Selepas (mendapat) tiga gol, kami mencipta banyak peluang dan saya ada pemain berbeza yang menjaringkan gol.
“Bagi saya, itu penting dan ia bermakna kami bermain sebagai satu pasukan. Namun kami perlu mempunyai mentaliti ‘pembunuh’ dan perkara itu juga yang menyebabkan kami tersingkir daripada Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
“Bagi saya, apabila kami berjaya mencipta dan memiliki peluang peluang untuk menjaringkan gol, kami mesti menyelesaikannya dengan lebih baik (menjaringkan gol),” katanya.
Pada perlawanan kelmarin, The Red Giants mengesahkan kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan Liga Super dan keputusan 3-0 kali ini melonjakkan pasukan ke tangga ketiga.
“Kita tidak boleh merumuskan permainan hanya dengan perkara itu sahaja, sekurang-kurangnya kami meraih tiga mata dan pemain bukan robot, mereka adalah manusia.
“Anda boleh menjaringkan gol dan kadang-kadang anda juga boleh terlepas, jadi saya tidak mahu menyalahkan mereka,” katanya.














