KUALA TERENGGANU – Perbuatan serakah seorang lelaki warga emas melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki yang juga anak jirannya berbalas apabila dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkuman hukuman demikian selepas tertuduh berusia 76 tahun membuat pengakuan bersalah setelah kedua-dua pertuduhan dibacakan. Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia 10 tahun di sebuah rumah di Ajil, Hulu Terengganu pada 24 Disember lalu.
Dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap kanak-kanak berusia 11 tahun di lokasi dan masa sama.
Lelaki tersebut didakwa Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanim Ayim, manakala tertuduh pula diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Abdul Hayyi Salim. – KOSMO! ONLINE














