KUALA TERENGGANU – Seorang guru muzik sebuah sekolah rendah Kuala Nerus dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya.
Tertuduh yang berusia 54 tahun membuat pengakuan tidak bersalah setelah kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiquddin Zulkifli.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan berusia 10 tahun di dalam bilik muzik sekolah tersebut antara pukul 10.15 pagi hingga 11.45 pagi, Oktober lalu.
Lelaki tersebut turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan berusia tujuh tahun di lokasi sama, antara pukul 9.45 pagi hingga 10.15 pagi, 10 September lalu,
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki video lucah di sebuah premis di Padang Nenas, Kuala Nerus pada 13 November 2025 lalu.
Bagi pertuduhan keempat hingga keenam pula, lelaki tersebut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan berusia lapan tahun di lokasi sama pada
24 September, 7 Oktober dan 16 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE














