PETALING JAYA – Mengukuhkan nama dengan pelbagai anugerah terbaik termasuk trogi Bintang Paling Popular 2025, bukan tiket selesa buat penyanyi Ernie Zakri duduk goyang kaki tanpa berusaha mencari kunci untuk kekal relevan dalam bidang nyanyian.
Menurut Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, pegangan tersebut seiring dengan realiti industri hiburan tanah air yang menyaksikan ramai penyanyi pernah berada di puncak populariti namun akhirnya menyepi apabila tidak lagi mengikut arus semasa.
“Sampai sekarang saya masih mencari formula untuk kekal relevan dalam industri.
“Sejak mula bergiat aktif dari umur 17 sehingga sekarang, saya lihat ramai penyanyi datang dan pergi.
“Ketika ada di antara mereka berada di puncak, saya sangat mengidolakan tetapi sedang berada di puncak, tiba-tiba mereka hilang sekelip mata. Itu antara ketakutan yang paling dalam saya,” katanya dalam rancangan Nona.
Bagaimanapun, pelantun lagu Gundah itu memaklumkan pencariannya bukan berpunca daripada sikap tamak atau tidak bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan.
“Bukan kata saya tamak atau tidak bersyukur dengan apa yang Allah beri, tetapi sehingga sekarang saya masih mencari formula itu.
“Saya tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang sudah dikecapi.
“Setiap kali selepas melancarkan lagu, saya akan fikir apa langkah seterusnya. Bukan bermakna saya susah untuk berasa cukup, tetapi saya perlu sedar bumi ini sentiasa berpusing,” jelasnya.
Sebagai penyanyi, Ernie sedar bahawa persaingan dalam industri seni sentiasa berubah dan dipenuhi bakat baharu.
“Akan ada lagi dua atau tiga tahun akan datang, pasti muncul ramai penyanyi wanita yang hebat.
“Jadi bagaimana saya boleh kekal dalam industri dengan baik adalah dengan sentiasa memikirkan strategi,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, Ernie melakar sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai bintang paling popular pada Anugerah Bintang Paling Popular ke-37. Selama ini berkecimpung dalam dunia muzik, juara Bintang RTM 2009 itu pernah tiga menjulang trofi Vokal Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu serta beberapa anugerah terbaik dalam Anugerah Industri Muzik. – KOSMO! ONLINE














