LONDON – Sebuah kereta BMW dipandu laju merempuh dua kenderaan yang diparkir semasa dikejar polis, menyebabkan dua individu parah, lapor akhbar The Sun.
Polis West Yorkshire, England menyatakan, anggota-anggotanya mengejar kereta BMW M3 yang gagal berhenti ketika diarahkan, kira-kira pukul 5.30 pagi (waktu tempatan) di Canal Road kelmarin.
Pemandu BMW membelok dan memasuki Kings Road sebelum melanggar dua buah kenderaan pada kelajuan tinggi.
“Impak pelanggaran amat dahsyat dengan sebuah kereta berwarna merah dilihat terpelanting ke udara sebelum melanggar dinding dan terbalik,” kata polis.
Serpihan bertaburan di jalan sebuah kawasan perumahan, manakala asap berkepul-kepul naik ke udara apabila BMW itu melanggar sebuah lagi kenderaan yang tidak bergerak.
Pemandu kereta dan seorang penumpang wanita dikejarkan ke hospital dengan kecederaan serius. Polis masih menyiasat kejadian tersebut. – AGENSI














