fbpx
Wan Mohd. Zamri (kanan) bersama isterinya semasa tiba di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini untuk prosiding jatuh hukum.

Bekas pengurus besar AKSB sujud syukur, bebas tuduhan terima rasuah RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang bekas pengurus besar syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) membuat sujud syukur di dalam kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM10,000 melibatkan projek AKSB, 10 tahun lalu.

Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap Wan Mohd. Zamri W. Ismail, 64, di akhir kes pembelaan.

Dazuki dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati keterangan tertuduh adalah penjelasan yang jujur bahawa wang tersebut digunakan untuk bantuan mangsa banjir Disember 2014.

Menurutnya, pihak pembelaan juga berjaya mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atas imbangan kebarangkalian.

“Berdasarkan keterangan pihak pembelaan, saya berpuas hati bahawa wang tersebut digunakan untuk membantu mangsa banjir besar pada Disember 2014.

“Keterangan tersebut juga bukan direka-reka atau pemikiran semula dan ia merupakan penjelasan jujur daripada tertuduh mengenai wang tersebut.

“Walaupun keterangan yang dikemukakan tidak menunjukkan secara spesifik kegunaan wang sebanyak RM10,000 itu, saya secara keseluruhannya berpuas hari bahawa wang tersebut digunakan untuk membantu mangsa banjir besar pada Disember 2014,” katanya.

Dazuki memberitahu, justeru, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan tersebut dan wang jaminan dipulangkan semula.

Terdahulu, Wan Mohd. Zamri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 14 Ogos 2022 atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM10,000 sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat agar dilantik sub kontraktor bagi projek AKSB, 10 tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan iaitu wang sebanyak RM10,000 daripada Ng Tze Wei,44, melalui satu cek bertarikh 21 Januari 2015 yang dikreditkan ke dalam akaun sebuah bank milik Wan Mohd. Zamri.

Suapan itu diberikan sebagai dorongan membantu sebuah syarikat dilantik sebagai sub kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja mereka bentuk, membina, menyiapkan, menguji lari, mentauliah kerja-kerja mekanikal termasuk elektrikal dan kerja-kerja berkaitan (reka dan bina) untuk Skim Bekalan Air Merbau Chondong Fasa II, Pakej I Machang di sini.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah bank di Jalan Mahmood di sini pada 22 Januari 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Adha’ ‘Amir Yasser Amri.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah, perlu melapor diri di pejabat SPRM dan balai polis pada setiap 1 hari bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN