SEREMBAN – Seorang lelaki tempatan dikenali sebagai ‘Ayang’ pakar pembuatan peranti letupan buatan sendiri (IED) yang merupakan suspek utama kejadian letupan di Desa Palma, Nilai kini masih tidak bermaya dengan kecederaan dialaminya agak serius.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pasukan penyiasat sentiasa berada di hospital bagi memantau keadaan terkini suspek atau nama sebenarnya Yeoh Hock Sun, 62, yang dilaporkan telah berpindah daripada zon merah ke wad biasa.
“Mangsa walaupun stabil, tetapi masih lagi tidak bermaya. Kecederaannya boleh dikategorikan sebagai agak serius.
“Kita akan menjalankan siasatan sebaik mungkin bagi mengetahui motif sebenar suspek membuat bahan letupan,” katanya selepas Majlis Peluncuran Pasukan Tindak Balas Bencana Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.
Jelas Alzafny, siasatan polis percaya suspek bergerak secara sendirian dan bersembunyi di suatu kawasan yang jauh daripada (tempat awam).
Ketika diminta mengulas sama ada suspek sendiri bertindak mengembom diri sendiri ekoran keadaannya yang ditemui melecur, Alzafny berkata, tiada sebarang letupan berlaku berdekatan kawasan suspek itu dijumpai dan ditahan pada 27 Disember lalu.
“Kejadian melibatkan letupan pertama pada 22 Disember lalu di Desa Palma, Nilai telah disahkan oleh Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa berlaku mishandling (kesilapan pengendalian),” katanya lagi yang tidak menolak perkara itu punca suspek melecur.
Sebelum ini, Kosmo pada 27 Disember lalu melaporkan Ayang dalang utama pembuatan puluhan IED susulan kejadian letupan di Desa Palma, Nilai telah polis di kawasan Batang Benar, Nilai.
Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan suspek mendapati terdapat kecederaan melecur di bahagian muka, badan, tangan dan kaki.
Dalam pada itu, Alzafny berkata, Pasukan Tindak Balas Bencana Jabatan KDNKA IPK Negeri Sembilan pertama kali dilancarkan terdiri daripada seorang pegawai dan empat anggota bagi membantu keperluan sekiranya berlaku sesuatu bencana. – KOSMO! ONLINE














