PETALING JAYA – Bekas isteri penyanyi Nubhan iaitu Dr. Afifah Hidayah naik berang apabila semua barang miliknya dikeluarkan dari rumah yang didiami ketika ini tanpa dimaklumkan lebih awal.
Lebih menyedihkan, kesemua barang peribadinya dicampak di depan rumah ibu bapa dalam keadaan tidak terurus.
Afifah berkata, tindakan yang dilakukan Nubhan jelas tidak berperikemanusiaan dan kejam terhadap seorang bekas isteri yang menjaga anak-anak hasil perkahwinan mereka, apatah lagi, dia kini berada di luar negara.
“Saya sekarang berada di luar negara dan tak boleh pulang sekarang. Habis diangkut barang-barang keluar dari rumah yang saya duduki sekarang dengan anak-anak tanpa maklumkan lebih awal.
“Awak kejam Nubhan! Barang-barang saya dicampak di depan rumah ibu, sedih diperlaku sebegini.
“Dia pernah buat begitu dan bukan kali pertama, dia pernah buat saya macam ini. Telefon pembantu rumah juga dirampas.
“Barang-barang berharga siapa pegang? Duit dan barangan kemas saya di mana?
Siapa benarkan barang-barang peribadi saya diusik orang? Kenapa barang saya saya dibuang, milik anak-anak pula?” tulisnya dalam platform Threads.
Lebih membuatkan Afifah bertambah marah, Nubhan juga dikatakan telah menyahaktif televisyen litar tertutup (cctv) di kediaman tersebut, sekali gus menyukarkannya memantau situasi yang berlaku ketika ini.
Dia juga berpendapat sikap bekas suaminya semakin melampau terutama selepas semakin dikenali ramai.
“CCTV ditutup, ini kejam tahap apa pun tak tahu dan orang tidak nampak lagi ke?
“Takkan sudah jadi juara sudah sombong macam ini. Satu Malaysia kenal terus tak boleh diusik ke?
“Tergamaknya kau! Rumah dan kereta nama kau! Macam itu saja kau buang aku! Tanpa belas kasihan,” ujarnya.
Afifah juga memberitahu semua perkara yang diberitahu Nubhan kepada umum mengenai mahu menghadiahkan rumah dan kereta kepadanya hanyalah dusta semata-mata.
“Lepas itu bukan main orang cakap dia bagi hadiah kereta, rumah dan klinik. Tidak ya? Semua itu atas dasar konten saja.
“Ini ke yang orang kata anak soleh. Doa mak yang buat kau banyak rezeki? Kau aniaya begini sedangkan saya masih ada mak ayah, mana hormat kau pada orang tua saya?
“Saya sudah tak ada kesabaran dan cuba diam serta jaga aib. Saya cuba tetapi tangan menggigil, sudah tidak dapat nak buat ayat baik-baik lagi.
“Sekurang-kurangnya tunggulah harta sepencarian atau bincang elok-elok. Kenapa nak buat terkejut macam ini?” tuturnya.
Dalam pada itu, dia tetap berharap Tuhan akan terus memberinya kekuatan menghadapi kemelut yang berlaku selain dihurung rasa bersalah terhadap ibu bapanya kerana turut terheret dalam ‘perang’ dengan Nubhan.
“Allah! Kuatkan aku! Kasihan pada ibu bapa saya, balik rumah tetapi tengok barang-barang anak dia ada di rumah tanpa sebarang notis.
“Maaf ibu ayah, saya tak sangka dia buat begini, dulu ibu kutip baju along selepas dia tinggalkan di depan rumah dan hari ini dia buat lagi,” jelasnya.
Terdahulu, Afifah dan Nubhan mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015, namun disahkan bercerai talak dua pada awal Disember lalu di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Sepang.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aafan, 6, dan Afzan Nayille,3. – KOSMO! ONLINE














