ALOR SETAR – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di lampu isyarat Megat Dewa, Jalan Jitra-Kodiang dekat Kubang Pasu, semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, mangsa, Ahmad Ilyes Abu, 54, yang memandu kereta Proton Persona meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
“Siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya ke tempat kerja di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar sebelum kereta itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, anak saudara mangsa, Mohd. Jalil Ahmad, 33, berkata, Allahyarham Ahmad Ilyes akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Bendang Raja petang ini.
“Arwah menetap dengan ibu bapanya selepas berpisah dengan isteri. Keluarga masih bersedih dengan kehilangan arwah yang pergi secara mengejut,” ujarnya. – KOSMO! ONLNE














