PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, pertemuan Perdana Menteri bersama Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.
“Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan perkembangan semasa negara,” kata laman Facebook tersebut.
Terdahulu, dalam hantaran berasingan, Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan dipersembahkan taklimat mengenai laporan kemajuan kerja-kerja pembinaan Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil.
Masjid berkenaan dibina hasil peninggalan wang anakanda Seri Paduka Baginda, Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil yang mangkat pada 5 Disember 2015.
“Masjid yang dibina di Jalan Kolam Air berhampiran Istana Bukit Serene mampu memuatkan hampir 1,000 jemaah,” kata Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari hari ini. – KOSMO! ONLINE














