SUNGAI PETANI – Seramai 20 ahli sindiket jenayah terancang dikenali sebagai Geng Rames yang disyaki terlibat dalam pembunuhan, kekerasan dan pengedaran dadah di negeri ini dan Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan setelah pertuduhan ke atas semua tertuduh berusia antara 24 hingga 42 tahun dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Tertuduh ialah G. Magen; S. Tanesh; R. Shargunan; S. Kanesram; V. Mathavan; J. Thanes; V. Yanasegar; Paramasivan; G. Yuvaraj; M. Ponggiswaran; P. Puganeswaran; S. Nagarajan; R. Gobinath; R. Kumaresan; R. Puvaneswaran; P. Kathiresan; K. Kesavan; S. Delhipraj; V. Navin Kumar dan T. Vivegananth.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames di Kampung Sungai Division dalam Daerah Kuala Muda antara Januari 2024 hingga 4 Disember lalu.
Pertuduhan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim, manakala tertuduh diwakili peguam RSN Rayer, S. Meharaj, P. Vaasudevan dan Muhammad Adam Burhanudeen.
Rayer meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes dipercepat dan meminta kebenaran agar ahli keluarga dapat berjumpa tertuduh selepas ada antara mereka ditahan sejak lebih sebulan lalu.
Hakim Najwa membenarkan ahli keluarga yang hadir menemui tertuduh dalam pemantauan ketat pihak polis dan 29 Januari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula dan tidak membenarkan sebarang ikat jamin ke atas semua tertuduh.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya berjaya melumpuhkan kumpulan jenayah terancang Geng Rames yang aktif melakukan pelbagai jenayah kekerasan di Kedah dan Pulau Pinang.
Kumpulan itu dipercayai dianggotai 35 orang yang dipimpin lelaki tempatan dikenali sebagai Rames dan aktif di Sungai Petani, Kulim serta beberapa lokasi di Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE














