KOTA BHARU – Seramai 10 individu termasuk empat beranak yang ditahan selepas dipercayai terlibat kes melakukan rusuhan di Pasar Awam Melor di sini pada Khamis lalu disambung reman tiga hari.
Perintah lanjutan reman bermula esok hingga hingga Jumaat ini dibenarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid terhadap lima lelaki dan lima wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 50-an itu.
Lanjutan reman itu bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh secara beramai-ramai di tempat awam.
Terdahulu, Mahkamah Majistret di sini semalam turut membenarkan dua beradik wanita berusia 28 dan 30 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut disambung reman tiga hari bermula hari ini hingga Khamis.
Sebelum ini, polis menahan seramai 12 individu bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan di Pasar Awam Melor di sini pada Khamis lalu.
Kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu menyebabkan seorang remaja berusia 19 tahun mengalami kecederaan pada seluruh bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, tangkapan dijalankan selepas mangsa membuat laporan yang mendakwa dirinya dikasari seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan remaja berkenaan mengalami kecederaan pada seluruh bahagian badan.
“Siasatan mendapati, kejadian itu turut melibatkan keluarga mangsa dan suspek. Pergaduhan itu dileraikan oleh orang awam dan punca kejadian tersebut masih dalam siasatan.
“Sehubungan itu, seramai 12 individu yang terdiri daripada tujuh wanita dan lima lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 50-an ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, tular satu video di laman sosial yang memaparkan beberapa wanita sedang bergaduh di Pasar Awam Melor di sini.
Pergaduhan itu pada awalnya melibatkan dua orang wanita sebelum sekumpulan individu termasuk beberapa lelaki dan wanita dipercayai keluarga mereka turut campur tangan dan cuba meleraikan insiden tersebut. – KOSMO! ONLINE














