SEBERANG PERAI – Seorang bayi perempuan yang dilahirkan pramatang di Jepun memerlukan kira-kira RM1.5 juta bagi menampung kos rawatan intensif serta urusan membawa pulang ke tanah air.
Bayi berkenaan, Alexis Liang Xi Yue, dilahirkan seberat hanya 480 gram ketika usia kandungan 22 minggu dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), sebuah hospital di Tokyo.
Pengerusi badan amal One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, keluarga bayi yang berasal dari Bukit Mertajam di sini terpaksa memohon bantuan orang ramai berikutan kos rawatan yang amat tinggi.
Menurutnya, bapa Alexis, Liang Chee Liang, 32, memaklumkan isterinya, Chan Luen Chiag, 29, telah menerima kelulusan perubatan sebelum bercuti ke Tokyo pada 9 November lalu.
“Bagaimanapun, Luen Chiag mengalami kesakitan teruk dan pendarahan luar biasa sebelum mendapatkan rawatan di beberapa klinik.
“Pasangan itu kemudian membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia, namun pendarahan bertambah serius sehingga Luen Chiag melahirkan bayinya di bilik hotel sebelum sempat menaiki penerbangan pulang,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, Alexis yang kemudiannya dikejarkan ke hospital disahkan mengalami beberapa komplikasi kritikal termasuk penyakit paru-paru kronik bronchopulmonary dysplasia, masalah perkembangan retina serta pendarahan otak di ventrikel kanan.
Katanya lagi, bayi tersebut perlu terus dirawat di wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) sehingga tarikh jangkaan kelahiran asalnya iaitu akhir Mac 2026 sebelum dibenarkan keluar hospital, tertakluk kepada tahap kestabilan kesihatannya. – KOSMO! ONLINE














