BALING – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki bersama rakannya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Kampung Merah, Kuala Ketil, semalam.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, pejabat pertanyaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling menerima panggilan kecemasan pada pukul 7 malam semalam daripada orang awam mengenai kejadian tersebut.
Berikutan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis pergi ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.
“Hasil siasatan mendapati motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz yang dinaiki mangsa itu bersama rakannya masing-masing berusia 14 tahun datang dari arah Kampung Charok Beras menghala ke Kampung Padang Geh.
“Sebuah lagi motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggangi remaja lelaki berusia berusia 16 tahun itu dari arah Kampung Paya Besar menghala ke Kuala Ketil, bagaimanapun, setakat ini kejadian kemalangan yang berlaku itu masih dalam siasatan pihak polis, ” katanya.
Menurutnya, akibat daripada kemalangan itu, mangsa yang juga penunggang motosikal itu mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi mangsa yang juga penunggang sebuah lagi motosikal serta pembonceng motosikal iaitu rakan mangsa yang meninggal itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














