BANGKOK – Gangguan besar sistem logistik berlaku di wilayah Yala, selatan Thailand susulan peletakan jawatan beramai-ramai pekerja penghantaran, menyebabkan berpuluh-puluh ribu bungkusan terkandas di dalam sebuah gudang tempatan, lapor laman berita Thaiger semalam.
Situasi itu mengundang kemarahan orang ramai dan gesaan supaya tindakan pembetulan dilakukan.
Semalam, wartawan melawat sebuah gudang milik syarikat penghantaran terkenal di Yala selepas pelanggan mula melaporkan kelewatan teruk dan penghantaran yang tidak sampai.
Di dalam kemudahan tersebut, sejumlah besar bungkusan bertimbun di kawasan pengasingan dan zon penyimpanan, dengan sebahagiannya dipercayai tidak disentuh selama beberapa hari.
Gangguan itu memaksa pelanggan datang sendiri ke gudang dengan harapan dapat mencari bungkusan mereka.
Menurut maklumat kakitangan dan sumber tempatan, gangguan itu berpunca daripada gelombang peletakan jawatan mengejut dalam kalangan pemandu penghantaran serta kakitangan penyisihan bungkusan.
Sumber memaklumkan bahawa langkah kecemasan sedang dibincangkan, termasuk sokongan tenaga kerja sementara, pengagihan semula bungkusan ke hab berhampiran serta semakan pengurusan dalaman bagi menstabilkan operasi.
Setakat ini, syarikat penghantaran berkenaan masih belum mengeluarkan penjelasan berhubung perkara itu. – AGENSI














