NAYPYIDAW – Parti pro-tentera Myanmar menang majoriti dalam fasa pertama pilihan raya umum yang dikendalikan oleh junta, kata sumber parti kepada AFP hari ini.
Tentera Myanmar merampas kuasa dalam kudeta pada 2021, tetapi mengadakan pilihan raya umum beberapa fasa selama sebulan bermula semalam setelah berjanji akan mengembalikan kuasa kepada rakyat.
Parti tokoh demokrasi Aung San Suu Kyi yang dibubarkan tidak bertanding, manakala beliau kekal dipenjarakan sejak rampasan kuasa tentera yang mencetuskan perang saudara.
Aktivis, diplomat Barat, dan ketua hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengecam pilihan raya itu.
“Parti Penyatuan Solidariti dan Pembangunan menang majoriti kerusi di seluruh negara,” kata seorang pegawai parti di ibu negara Myanmar, Naypyidaw.
Keputusan rasmi belum diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan Myanmar, manakala masih terdapat dua lagi fasa yang dijadualkan pada 11 dan 25 Januari tahun depan.
Junta tentera membatalkan keputusan pilihan raya terakhir pada 2020 selepas parti Suu Kyi, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi, mengalahkan USDP Parti Solidariti dan Pembangunan Kesatuan.
Pilihan raya semalam melibatkan 102 daripada 330 kawasan perbandaran negara itu, yang terbesar daripada tiga fasa pengundian. – AFP














