KUALA SELANGOR – Hasrat seorang pemilik perniagaan kenderaan terpakai untuk menjual sebuah kereta mewah jenis Lamborghini tidak kesampaian apabila kenderaan itu disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh selama 15 bulan.
Tindakan tersebut diambil dalam satu pemeriksaan Ops Luxury di susur keluar Lebuh Raya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (Latar) di sini kira-kira pukul 10.05 pagi semalam.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, siasatan mendapati lelaki berusia 34 tahun itu sedang dalam perjalanan ke Setia Alam bagi urusan jual beli kenderaan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kenderaan tersebut gagal mempamerkan nombor pendaftaran di bahagian hadapan.
“Hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati LKM dan insurans kereta itu telah tamat tempoh sejak 15 bulan lalu.
“Alasan dia tidak memperbaharuinya kerana ingin menjual kereta itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kereta jenis Lamborghini yang disita di SPK Ijok.
Tegas beliau, semakan juga mendapati pemandu kereta itu mempunyai rekod kesalahan lampau antaranya gagal mematuhi had laju, tiada lesen memandu dan lesen memandu percubaan tamat tempoh.
Susulan itu, kenderaan terbabit disita dan dibawa ke Stesen Penguatkuasa (SPK) Ijok untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Azrin menegaskan JPJ Selangor akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan terhadap semua aduan yang diterima.
“Ia bagi memastikan setiap kenderaan di jalan raya sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














